Friday, March 20, 2015

Air Detox (Infused Water)


Khasiat Air Detox 




Air detox atau infused water merupakan campuran air putih dengan buah-buahan  seperti lemon, oren, epal hijau, nenas, pear, limau kasturi dan limau nipis. Manakala sayur-sayuran pula seperti timun, tomato, celery, salad dan lobak. Air yang telah dicampur dengan buah-buahan tadi hendaklah dibiarkan selama lebih kurang 5 ke 6 jam sebelum diminum.





Biasanya Effa akan menyediakan Air detox  pada waktu malam kerana air detox ini amat sesuai diminum pada waktu pagi. Penyediaan air detox juga amat mudah dibuat. Potong buah-buahan yang telah kita pilih dan masukkan ke dalam botol air dan biarkan semalaman di dalam peti ais. 




Air detox ini sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan kita kerana khasiat dari buah-buahan yang telah kita campurkan semalaman telah menjadi sebati.




Antara lain khasiat air detox adalah ianya dapat mengurangkan berat badan.... dan  air ini amat sesuai bagi mereka yang ingin berdiet. 





Selain itu khasiat yang akan kita dapat jika terus mengamalkan pengambilan air detox ini akan membantu untuk menambahkan metabolism badan dan mencantikkan kulit kerana kandungan vitamin C yang tinggi.





Jadi apa tunggu lagi.... jom lah mencuba air detox... walaupun rasanya masam namun kandungan vitamin dan khasiatnya sangat baik untuk kesihatan.... daripada kita minum minuman yang manis bergula seperti minuman berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi ... takut terkena kencing manis pula kan....
So, segeralah  mengamalkan air detox.... yang tentunya baik untuk kesihatan tubuh badan kita.




Thursday, March 19, 2015

"Knitting Cake" Untuk Hari Lahir Ibu Yang Ke 72 Tahun

Assalamualaikum...

Sempena hari lahir ibu yang ke 72 tahun pada 01.01.15 yang lepas, Effa telah membuat kek yang sangat istimewa buat ibu tersayang. Pada mulanya Effa agak bingung memikirkan apakah kek yang sesuai untuk ibu sempena hari lahir yang ke 72 tahun. Fikir punya fikir... akhirnya Effa terdetik nak membuat kek "knitting" ataupun kek anyaman yang dekonya nanti lebih kepada benang anyaman dan jarum anyaman. Ini adalah kerana selain daripada menanam bunga, ibu juga amat gemar menganyam. 

Kalau dulu, semasa Effa kecil, ibu selalu membuat topi dan baju panas (sweater) untuk Effa. Ibu juga banyak menganyam lapis meja dan hiasan lapis televisyen dalam pelbagai warna yang menarik. Sehingga ke hari ini, hobi menganyam ibu teruskan.... kali ini ibu menghasilkan baju panas dan topi-topi untuk cucu-cucu dan cicitnya pula. Alhamdulillah ibu masih dapat menyiapkan anyaman baju dan topi untuk cucu cicit tersayang. Semoga ibu sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Aamin Ya Rabbal Alamiin....







Effa mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk mendeko kek anyaman (knitting) ibu. Banyak details yang perlu Effa siapkan... seperti benang anyaman, jarum anyaman, butang-butang kecil, benang halus dan juga jarum yang halus. Semua ini memerlukan kesabaran.... tapi demi ibu tercinta Effa sanggup lakukan apa saja.... I love you Ibu...




I


Kek ini merupakan kek buah.... disaluti sepenuhnya oleh fondant.... oleh kerana ibu tidak begitu gemar kek yang berkrim, jadi Effa tidak meletakkan sebarang krim di dalam kek.... Effa cuma meletakkan sedikit buttercream di lapisan atas dan sekeliling kek agar fondant mudah melekat di keseluruhan kek.









Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan details yang ada pada kek, namun Effa amat berpuas hati dengan hasil dari tangan Effa sendiri.... kerana sememangnya menyiapkan kek sebegini amat memerlukan kesabaran, kesungguhan dan ketelitian dalam menyiapkan setiap details ataupun hiasan yang ada di atas kek.












Apa yang lebih menggembirakan Effa, ibu amat gembira dan teruja menerima kek yang Effa siapkan istimewa buat ibu. Pada mulanya, ibu tidak menyangka apa yang Effa berikan kepada ibu merupakan kek. Ibu sangkakan Effa menghadiahkan ibu benang anyaman.... he he he lucu juga bila diingat.... 











Buat ibu tercinta ..... terima kasih kerana melahirkan Effa ke dunia ini dan mendidik kami adik beradik dengan penuh kasih sayang. Pengorbanan ibu dan ayah selama ini begitu besar dan tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Jasa ibu dan ayah akan tetap dikenang selagi nyawa dikandung badan....







Selamat Hari Lahir yang ke 72 tahun ibu.... WE LOVE YOU....

Monday, March 16, 2015

Resepi Ikan Ampap

Assalamualaikum....


Agak lama juga Effa tidak mengemaskini blog .... bukannya apa selain sibuk dengan kerja-kerja pejabat dan rumahtangga, Effa juga sibuk memenuhi tempahan kek dari rakan-rakan. Seperti yang telah Effa nyatakan sebelum ini yang Effa amat meminati  dunia baking, jadi dengan menerima tempahan membuat kek, maka secara tidak langsung ianya akan dapat meningkatkan kemahiran Effa didalam dunia baking.
Pada hari ini Effa nak kongsikan resepi ikan masak ampap yang merupakan masakan yang terkenal dikalangan suku kaum Bajau di negeri Sabah. Resepi yang Effa kongsikan ini merupakan resepi turun temurun yang Effa dapatkan dari ibu dan juga ibu mertua Effa. Cuma kali ini, Effa olahkan sedikit dengan menambahkan sedikit daun limau purut ke dalam masakan untuk mendapatkan aroma yang lebih menyelerakan.
Masakan ikan ampap ini merupakan lauk kegemaran suami Effa. Lauk ini juga merupakan lauk kegemaran anak lelaki Effa, abang Boboy. Maka dengan itu hampir setiap hari menu ini sentiasa ada disajikan di meja makan untuk santapan sekeluarga.







Oleh kerana lauk ikan ampap ini merupakan lauk kegemaran suami Effa, maka Effa namakan lauk ini "Ikan Ampap untuk Dia". bersempena dengan drama bersiri "Asam Pedas untuk Dia".  Didalam drama ini sedikit sebanyak mengisahkan seorang wanita yang telah berjaya memikat seorang lelaki hasil daripada air tangannya sendiri dengan memasak lauk asam pedas yang  akhirnya menjadi lauk kegemaran lelaki tersebut.  Akhirnya mereka bersatu menjadi suami isteri dek kerana masakan asam pedas si wanita. 






Benarlah kata pepatah, kalau nak memikat suami, kenalah ikat melalui perutnya ...
Jadi apa tunggu lagi... jom kita jenguk resepi ikan masak ampap versi ibu / ibu mertua Effa.


RESEPI IKAN MASAK AMPAP


1 . 500 gm ikan kayu (Oh ya..., selain ikan kayu, anda juga boleh menggunakan ikan selayang atau dalam bahasa Sabah dikenali sebagai ikan basung).

2.  Kunyit (Saiz ibu jari - sebanyak 4 - 5 batang) (ditumbuk halus)
3.  Cili Padi (10 ke 15 biji) (ditumbuk)
4.  5 biji bawang merah (ditumbuk)
5.  3 biji bawang putih (ditumbuk)
6.  5 keping daun limau purut (optional)
7.  Setengah cawan air asam jawa
8. Garam secukup rasa
9. Sedikit ajinomoto
10. Sedikit minyak masak

Cara Memasak:


1. Ikan disiang, dibersihkan dan ditoskan airnya.

2. Susun ikan yang telah dibersihkan ke dalam periuk
3. Campurkan semua bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk yang berisi ikan
4. Masukkan air ke dalam periuk - agak2 sehingga semua ikan terendam di dalam air.
5. Masukkan garam dan sedikit ajinomoto
6. Rebus ikan menggunakan api yang sederhana.
7. Apabila air di dalam periuk mendidih, tambahkan air asam jawa
8. Selepas beberapa minit, perlahankan api dan masukkan beberapa keping daun limau purut (kalau tak nak letak pun tak apa)
9. Masukkan sedikit minyak masak ke dalam periuk (Perlahankan api)
10. Setelah minyak bercampur, bolehlah dimatikan api periuk.
11. Ikan masak ampap sedia untuk dihidangkan (Tambahkan sedikit limau purut untuk aroma dan sebagai hiasan)








Mudah bukan...... Selain sesuai dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi, ikan ampap juga sesuai dimakan bersama ambuyat (Sagu dari pokok rumbia). Ambuyat adalah sejenis makanan tradisi suku kaum Berunai di Sabah. 




Selamat mencuba....