Monday, March 16, 2015

Resepi Ikan Ampap

Assalamualaikum....


Agak lama juga Effa tidak mengemaskini blog .... bukannya apa selain sibuk dengan kerja-kerja pejabat dan rumahtangga, Effa juga sibuk memenuhi tempahan kek dari rakan-rakan. Seperti yang telah Effa nyatakan sebelum ini yang Effa amat meminati  dunia baking, jadi dengan menerima tempahan membuat kek, maka secara tidak langsung ianya akan dapat meningkatkan kemahiran Effa didalam dunia baking.
Pada hari ini Effa nak kongsikan resepi ikan masak ampap yang merupakan masakan yang terkenal dikalangan suku kaum Bajau di negeri Sabah. Resepi yang Effa kongsikan ini merupakan resepi turun temurun yang Effa dapatkan dari ibu dan juga ibu mertua Effa. Cuma kali ini, Effa olahkan sedikit dengan menambahkan sedikit daun limau purut ke dalam masakan untuk mendapatkan aroma yang lebih menyelerakan.
Masakan ikan ampap ini merupakan lauk kegemaran suami Effa. Lauk ini juga merupakan lauk kegemaran anak lelaki Effa, abang Boboy. Maka dengan itu hampir setiap hari menu ini sentiasa ada disajikan di meja makan untuk santapan sekeluarga.







Oleh kerana lauk ikan ampap ini merupakan lauk kegemaran suami Effa, maka Effa namakan lauk ini "Ikan Ampap untuk Dia". bersempena dengan drama bersiri "Asam Pedas untuk Dia".  Didalam drama ini sedikit sebanyak mengisahkan seorang wanita yang telah berjaya memikat seorang lelaki hasil daripada air tangannya sendiri dengan memasak lauk asam pedas yang  akhirnya menjadi lauk kegemaran lelaki tersebut.  Akhirnya mereka bersatu menjadi suami isteri dek kerana masakan asam pedas si wanita. 






Benarlah kata pepatah, kalau nak memikat suami, kenalah ikat melalui perutnya ...
Jadi apa tunggu lagi... jom kita jenguk resepi ikan masak ampap versi ibu / ibu mertua Effa.


RESEPI IKAN MASAK AMPAP


1 . 500 gm ikan kayu (Oh ya..., selain ikan kayu, anda juga boleh menggunakan ikan selayang atau dalam bahasa Sabah dikenali sebagai ikan basung).

2.  Kunyit (Saiz ibu jari - sebanyak 4 - 5 batang) (ditumbuk halus)
3.  Cili Padi (10 ke 15 biji) (ditumbuk)
4.  5 biji bawang merah (ditumbuk)
5.  3 biji bawang putih (ditumbuk)
6.  5 keping daun limau purut (optional)
7.  Setengah cawan air asam jawa
8. Garam secukup rasa
9. Sedikit ajinomoto
10. Sedikit minyak masak

Cara Memasak:


1. Ikan disiang, dibersihkan dan ditoskan airnya.

2. Susun ikan yang telah dibersihkan ke dalam periuk
3. Campurkan semua bahan yang telah ditumbuk ke dalam periuk yang berisi ikan
4. Masukkan air ke dalam periuk - agak2 sehingga semua ikan terendam di dalam air.
5. Masukkan garam dan sedikit ajinomoto
6. Rebus ikan menggunakan api yang sederhana.
7. Apabila air di dalam periuk mendidih, tambahkan air asam jawa
8. Selepas beberapa minit, perlahankan api dan masukkan beberapa keping daun limau purut (kalau tak nak letak pun tak apa)
9. Masukkan sedikit minyak masak ke dalam periuk (Perlahankan api)
10. Setelah minyak bercampur, bolehlah dimatikan api periuk.
11. Ikan masak ampap sedia untuk dihidangkan (Tambahkan sedikit limau purut untuk aroma dan sebagai hiasan)








Mudah bukan...... Selain sesuai dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi, ikan ampap juga sesuai dimakan bersama ambuyat (Sagu dari pokok rumbia). Ambuyat adalah sejenis makanan tradisi suku kaum Berunai di Sabah. 




Selamat mencuba....

No comments:

Post a Comment